Cerita Flik Flak daripada koleksi dunia
Semua naik untuk mendengar Cerita dari Dunia!
Flik dan Flak telah menemui sebuah buku purba di dalam hutan dengan kulit yang misteri. Di saat membukanya, mereka telah membebaskan Tempo, ahli sihir tua, yang dipenjara dalam halaman buku mantera itu. Sebagai tanda terima kasih, Tempo membacakan mereka cerita setiap malam apabila matahari terbenam. Diilhamkan oleh koleksi Cerita dari Dunia, kisah-kisah ini akan membawa kanak-kanak ke alam semesta yang penuh dengan makhluk aneh dan legenda. Hutan Keajaiban atau Barat Jauh, lautan Viking atau sungai Jepun, unikorn atau naga, kesateria atau ninja, makhluk halus nakal atau pari-pari yang suka mengusik, keajaiban boleh muncul di mana-mana sahaja. Jadi, adakah anda bersedia menyertai Flik dan Flak dalam pengembaraan mereka yang luar biasa dan menarik? Bersediakah anda? Bagus, maka kisah ini boleh bermula!...
Chang'e, dewi Bulan
Tempo, ahli sihir tua, duduk berdekatan Flik dan Flak dengan buku manteranya. “Suatu masa dahulu, sepuluh matahari muncul di langit China, ladang dan tanaman menjadi panas terik. Houyi si-pemanah memanah jatuh sembilan matahari dengan anak panah dan meninggalkan hanya satu matahari. Sebagai ganjaran, dewi memberinya eliksir keabadian untuk dikongsi dengan Chang'e, isterinya yang tercinta. Malangnya, seorang pencuri cuba mencuri eliksir itu. Enggan menyerah kepadanya, Chang’e minum sehingga titisan terakhir dan tubuhnya melayang ke Bulan. Chang'e yang malang sekarang hidup jauh dari semua orang! Untuk mengurangkan rasa kesunyiannya, Houyi akan meninggalkan pencuci mulut kegemarannya untuknya setiap malam di bawah cahaya bulan. Walau bagaimanapun, sebenarnya, Chang'e tidak bersendirian. Maharaja Jed telah memberinya teman untuk selama-lamanya: Arnab Jed. Dan, pada malam-malam tertentu, anda dapat melihat bebayang arnab Chang'e dalam bayangan di bulan.” Tempo menutup buku mantra. Flik dan Flak sudah tertidur...
Sasuke super ninja
Tempo, ahli sihir tua, duduk berdekatan Flik dan Flak dengan buku manteranya. “Semasa zaman feudal Jepun, seorang raja yang takut akan serangan meminta seorang ninja terkenal, Sasuke, untuk melakukan suatu misi ke istana musuh. Sasuke menggunakan tali untuk memanjat ke atas balkoni kayu yang tinggi dan, menyelinap sebagai orang halimunan, terlepas daripada perhatian para pengawal. Kemudian, di koridor yang gelap, dia menyamar diri sebagai samurai agar dia dapat menghadiri majlis perang. Inilah caranya dia mengetahui bahawa serangan akan dilancarkan pada hari berikutnya. Semasa dia menyusup keluar dari dewan untuk memberi amaran kepada rajanya, dia terjatuhkan balaclava hitamnya. "Pengkhianat!" teriak pahlawan musuh. Sasuke berhasil melarikan diri dengan melakukan balik kuang, sebelum melompat keluar dari tingkap dengan lambaian akrobatik terakhir. Dia mendarat dalam sungai yang kecil, bangun dan berlari sepantas kilat ke dalam kegelapan malam." Tempo menutup buku mantra. Flik dan Flak sudah tertidur...
Mei dan sang naga
Tempo, ahli sihir tua, duduk berdekatan Flik dan Flak dengan buku manteranya. "Pada zaman Cina purba, ada seorang ibu yang tinggal dengan anak perempuannya Mei di tepi laut. Oleh sebab mereka sangat miskin, Mei pergi memancing setiap hari. Ibu melarangnya melihat ke dalam laut yang dalam, yang dikatakan rumah istana naga. Mei mematuhi ibunya sehinggalah pada hari lahirnya yang ke-10, ketika dia melihat bayangannya di permukaan air. Sang Naga tiba-tiba muncul dari laut dan Mei melarikan diri. Dia pergi memancing lagi keesokan harinya dan sang naga muncul sekali lagi. Mei menahan nafasnya. "Jangan takut," kata sang naga itu. Tidak lama selepas dia mengucapkan kata-kata ini, bakul Mei dipenuhi dengan ikan dan intan permata. Dan keajaiban yang sama terjadi lagi pada hari-hari berikutnya. Mei tidak lagi takut. Sang Naga ini baik dan membawa tuah kekayaan. Lagipun, betapa beruntungnya dia memiliki naga sebagai teman!" Tempo menutup buku mantra. Flik dan Flak sudah tertidur...
Ninja perantis
Tempo, ahli sihir tua, duduk berdekatan Flik dan Flak dengan buku manteranya. “Pada suatu masa dahulu, di pulau Honshu, tiga adik-beradik berangan-angan untuk menjadi pahlawan. Kenzo, Kenji dan Naoko berlatih bersungguh-sungguh dan menguasai seni mempertahankan diri, tipu muslihat dan ilmu selinap. Setiap malam, mereka menunjukkan keberanian mereka kepada ayah mereka, seorang ninja yang terkenal, dengan harapan dia akan memberikan mereka suatu misi. Hari yang besar akhirnya tiba apabila ikan sardin dan tenggiri hilang dari bilik stor mereka. Mereka perlu mencari siapa yang bertanggung jawab! Berpakaian warna hitam dan sarung muka, budak-bidak lelaki itu bersembunyi berdekatan bilik stor. Pintu tiba-tiba berkeriut. Mereka menerkam musuh dan menyalakan obor mereka untuk melihat siapa yang telah menggeledah bekalan makanan mereka. Pada waktulah mereka nampak Naruta, kucing mereka, yang mencuri untuk memberi makan anak-anak kucingnya. "Oh!" mereka mengeluh, kecewa. Tapi ayah mereka sangat bangga dengan para ninja perantisnya." Tempo menutup buku mantra. Flik dan Flak sudah tertidur...
Perkahwinan kitsune
Tempo, ahli sihir tua, duduk berdekatan Flik dan Flak dengan buku manteranya. “Ken tinggal di lembah Kiso, dekat dengan hutan kecil. Dia sering bermain di rumah pokoknya, bertenggek tinggi di atas pohon, memerhatikan kitsune, rubah yang ada kuasa sihir. Tetapi malangnya, dia tidak pernah nampak apa-apa. Pada suatu hari, ketika matahari bersinar di langit biru yang cerah, hujan tiba-tiba mulai turun. Sungguh pelik...! Ken dapat melihat ratusan cahaya aneh berkelip di kejauhan. Apakah yang terjadi? Jantungnya berdegup kencang, Ken memanjat naik ke rumah pokoknya dan melihat pemandangan yang memukau: perkahwinan rubah! Kitsune, semuanya berpakaian kimono adat, muncul dari gunung dan menyeberangi kampung, ekor keemasan berkilau seperti seribu cahaya. Ken tidak pernah melihat apa-apa yang sebegini indah! Apabila perarakan berlalu, pelangi yang cantik muncul di langit. Ken kembali ke rumahnya dengan bintang-bintang di matanya." Tempo menutup buku mantra. Flik dan Flak sudah tertidur...
Zashiki-warashii, roh yang nakal
Tempo, ahli sihir tua, duduk berdekatan Flik dan Flak dengan buku manteranya. "Haruki adalah seorang yang bahagia. Rumah penginapannya yang terletak dekat dengan Tokyo, sangat makmur. Dia terhutang budi dengan roh rumahnya, seorang budak lelaki yang disayanginya seperti anaknya sendiri. Namun, roh itu sangat nakal. Pada suatu hari, Haruki menjerit kepada budak lelaki itu dengan marah selepas bosan dengan kenakalannya. Roh itu sangat kecewa dan terus keluar dari rumah penginapan itu. Pada hari berikutnya, tanaman padi Haruki dibinasakan oleh hujan batu dan rumahnya diserang belalang juta. Para pengembara melarikan diri. Kehidupan Haruki musnah. Dia benar-benar PERLU mencari roh itu kembali! Dia mencari di daerah sekitar dan akhirnya menemui roh itu bersembunyi di bawah tong, merajuk. Haruki minta maaf kerana marah. Roh berjanji untuk kembali ke rumah penginapan dan akan kurang nakal. Sejak waktu itu, rumah penginapan Haruki sekali lagi telah dipenuhi dengan pengunjung......yang kadang-kadang bertemu dengan seorang budak lelaki yang bermain di atas tatami." Tempo menutup buku mantra. Flik dan Flak sudah tertidur...
Pencuri timun
Tempo, ahli sihir tua, duduk berdekatan Flik dan Flak dengan buku manteranya. "Di sebatang sungai di Jepun tinggal seekor kappa, sejenis jembalang kecil yang kelihatan seperti penyu. Oleh sebab kanak-kanak takut kepadanya, mereka tidak pernah pergi terlalu dekat dengan gigi air, maka ibu bapa mereka merasa yakin mereka selamat. Namun begitu, kappa ini amat kuat seleranya dan melahap seluruh bekalan timun. Akira mencetuskan idea untuk menyaluti timun dengan cili. Kappa tidak tidak mengesyaki apa-apa dan memakan semuanya. Ooh, aduh, mulutnya terasa seperti terbakar! Dia menyelam ke dalam air untuk meredakan rasa pedas. Akira kasihan kepadanya dan melemparkan beberapa biji timun tanpa cili ke dalam sungai keesokan harinya. Orang Jepun telah meneruskan tradisi ini sejak waktu itu dan kappa terus menakut-nakutkan kanak-kanak secara halus supaya mereka tidak terjatuh ke dalam air." Tempo menutup buku mantra. Flik dan Flak sudah tertidur...
Raja Monyet
Tempo, ahli sihir tua, duduk berdekatan Flik dan Flak dengan buku manteranya. "Di zaman Cina purba, sebuah batu ajaib telah terbelah dua, melahirkan seekor monyet yang begitu kuat sehingga dikenali sebagai Raja Monyet. Pada suatu hari, Raja Monyet telah memulakan usaha pencarian keabadian. Seorang mahaguru telah menerimanya sebagai pengikut dan dia terbukti sangat berbakat, mengembangkan kuasa hebat: mendaki awan, menjelmakan diri, berlari lebih pantas daripada meteor... Sayangnya, dia juga bersifat pemarah dan angkuh, maka mahaguru itu mengusirnya. Tapi dia terus melakukan kesalahan, mencuri tongkat sihir Naga dan Buah Pic Keabadian. Dan oleh sebab itu dia dipenjara di bawah sebuah gunung. Lima abad kemudian, seorang biarawan sedang menuju ke Barat untuk mencari manuskrip keramat dan memerlukan teman pengiring yang paling kuat untuk perjalanannya yang penuh bahaya. Siapa yang lebih baik daripada Raja monyet? Jadi kawan kita dibebaskan dan menjadi lebih bijak." Tempo menutup buku mantra. Flik dan Flak sudah tertidur...
Unikorn bulan purnama
Tempo, ahli sihir tua, duduk di samping Flik dan Flak dengan buku manteranya. "Suatu masa dahulu, ada seorang raja yang disayangi oleh seluruh rakyatnya. Pada suatu hari, baginda jatuh sakit. Sayangnya, tidak ada doktor dalam kerajaannya yang dapat mencari ubat untuk jantungnya yang lemah. Raja sangat terdesak. Pada malam bulan purnama, ketika baginda masuk ke Hutan Keajaiban, seekor unikorn yang memakai mahkota berlian muncul berhampiran mata air semula jadi. Raja tiba-tiba teringat bahawa hanya tanduk unikorn yang boleh menyembuhkannya. Baginda serta-merta menerpa untuk menangkapnya, tapi ia menghilang. Pada saat itu, seorang wanita muda muncul dari dalam air, tersenyum. Raja mendekatinya dan mereka terus saling jatuh cinta. Dan, seolah-olah dengan keajaiban, jantung raja telah sembuh. Mereka berkahwin keesokan harinya. Legenda mengatakan, benjolan lingkaran kecil dapat dilihat pada dahi Permaisuri ketika bulan purnama." Tempo menutup buku mantra. Flik dan Flak sudah tertidur...
Pari-pari dari padang rumput yang mempesonakan
Tempo, ahli sihir tua, duduk berdekatan Flik dan Flak dengan buku manteranya. "Tiga pari-pari kecil bermain di padang rumput yang mempesonakan. Setiap kali mereka berkata-kata, bunga dan kupu-kupu beraneka warna akan keluar dari mulut mereka. Pada suatu malam, setelah dibawa oleh badai, mereka mendapati diri mereka berada dalam kerajaan Noctus, Penguasa Kegelapan. Marah kerana terganggu tidurnya, Noctus menghalau mereka pergi. Pari-pari lari secepat yang boleh. "Itu sangat hampir!" mereka berteriak serentak. Sungguh ngeri! Kodok melompat keluar dari mulut mereka. Noctus telah menyihir mereka. Untuk menolong mereka, Bintang padang rumput berpusing-pusing, menghujani pari-pari dengan debu emas. "Oh!" mereka menangis. Bunga dan kupu-kupu yang bergemerlapan sekarang terbang keluar dari mulut mereka. Mereka berjanji tidak akan meninggalkan padang rumput yang mempesonakan itu lagi. Dan mereka tidak pernah nampak Noctus lagi." Tempo menutup buku mantra. Flik dan Flak sudah tertidur...
Dino & Zaurus
Tempo, penyihir tua, duduk berdekatan Flik dan Flak dengan buku manteranya. "Pada zaman dahulu kala, dunia hanya terdiri daripada satu benua sahaja. Pada waktu itu, ada dua ekor dinosaur tak dapat dipisahkan, Dino dan Zaurus. Suatu hari, ketika bermain di dalam hutan, mereka terserempak dengan Tyranno, musuh yang paling digeruni, dinosaur dengan rahang yang kuat dan kaki berkuku cakar. Dino dan Zaurus mula berlari, tapi Tyranno lebih laju. Baru sahaja dia hendak menangkap mereka, tiba-tiba terdengar bunyi dentuman yang memekakkan telinga. Bumi bergegar dan terbelah dua. Dino sempat melompat, tapi Zaurus tertinggal di seberang dengan Tyranno. Lubang yang sangat luas memisahkan mereka! Dino menghulurkan ekornya ke arah kawannya. Zaurus mencapainya dan melompat ke arah kawannya. Tyranno, kecewa, melihat sahaja ketika mereka bergerak lebih jauh lagi. Hanyutan benua baru sahaja bermula. Mujurlah, dua kawan kita telah bersatu semula!" Tempo menutup buku mantra. Flik dan Flak sudah tertidur...
Nessie yang menakjubkan
Tempo, ahli sihir tua, duduk berdekatan Flik dan Flak dengan buku manteranya. “Di Scotland, dikatakan terdapat raksasa yang tinggal di Loch Ness. Beberapa orang mengatakan ia kelihatan seperti ular laut, ada yang mengatakan seperti naga. Jadi, Scotty agak risau semasa dia menyeberangi Loch dengan perahunya, tapi dia perlu melawat neneknya. Scotty sedang mendayung dengan ligat apabila cuaca tiba-tiba berubah. Kabus meliputi Loch dan kawasan sekitarnya. Tiba-tiba, makhluk aneh muncul dengan benjolan di lehernya yang panjang. Scotty menggeletar. "Jangan takut, saya Nessie dan saya kenal Loch ini seperti belakang kaki sirip saya. Saya akan memandu anda." Scotty mengikutinya, merasa yakin. Nessie meluncur melalui air dengan mudah. Akhirnya, Scotty dapat melihat lampu-lampu. "Kita dah sampai," Nessie tersenyum. "Terima kasih," kata budak itu. Tapi Nessie sudah menghilang ke dalam perairan Loch yang penuh misteri." Tempo menutup buku mantra. Flik dan Flak sudah tertidur...
Dua gelombang tongkat sakti
Tempo, ahli sihir tua, duduk berdekatan Flik dan Flak dengan buku manteranya. "Hari itu adalah hari besar dalam kerajaan. Permaisuri telah melahirkan seorang puteri yang cantik. Dua pari-pari harus menjampi buaian anak itu sebelum matahari terbenam, jika tidak sang puteri akan ditimpa sumpahan yang mengerikan. Pari-pari Lila mengayunkan tongkat saktinya di atas buaian dan mengucapkan kata-kata ajaib, "Semoga tuan puteri mendapat kehidupan yang paling bahagia!". Sang puteri dikelilingi oleh sinar kilauan. Kemudian giliran pari-pari Zoe pula, tapi dia terlambat kerana salah satu sayapnya terluka. Masa hampir-hampir habis, dan permaisuri sangat risau. Mujurlah, pari-pari Zoe tiba tepat sebelum sinaran matahari terakhir. "Semoga... tuan puteri mendapat... kehidupan yang paling bahagia!" dia berkata tercungap-cungap sambil mengayunkan tongkat saktinya. Sejambak bintang terpancar keluar. Nasib baik, sang puteri menerima perlindungan pari-pari di saat-saat terakhir!" Tempo menutup buku mantra. Flik dan Flak sudah tertidur...
Kisah dua orang kesatria
Tempo, ahli sihir tua, duduk berdekatan Flik dan Flak dengan buku manteranya. "Pada Zaman Pertengahan, seorang penguasa yang kaya tinggal di istana yang gilang-gemilang. Nicolas dan adik kembarnya Nicolette tinggal berhampiran, dan penguasa itu, yang mengawasi mereka dari menara utamanya, sering kali melihat mereka menunggang kuda, berburu dengan busur silang, mengendalikan lembing dan belantan tanpa goyah. Dia begitu kagum sehingga dia menjadikan Nicolas sebagai kesateria. Nicolette juga ingin menjadi kesateria, tetapi anak perempuan tidak dibenarkan memegang senjata pada masa itu. Tidak lama selepas itu, penguasa telah diserang oleh penjahat. Nicolette mencapai anduhnya dan menembak batu ke arah mereka. Kerana ketakutan, kumpulan penjahat itu melarikan diri. Sungguh berani! Sang penguasa memanggil gadis itu ke istana dan menghadiahkannya baju rantai, perisai dan pedang perak dalam upacara besar-besaran. Maka dengan itu Nicolette menjadi kesateria wanita yang pertama." Tempo menutup buku mantra. Flik dan Flak sudah tertidur...
Billy, si-koboi kecil
Tempo, ahli sihir tua, duduk berdekatan Flik dan Flak dengan buku manteranya. "Di dataran Wild West, Billy sedang membantu ayahnya di ladang ternak, sambil menjaga lembu dengan menunggang kuda. Dan esok harinya, dia akan ambil bahagian dalam "rodeo" dengan Jumper, kuda baka baiknya, untuk pertama kali - yee-ha! Tiba-tiba, kudanya hilang! Mujurlah, Little Cloud, dan kawannya yang berdarah Sioux, menjadi penyelamat. Little Cloud berlutut dan meletakkan telinganya ke tanah. "Saya mendengar larian kencang kuda di sana di sebelah kanan!" Billy dan Little Cloud bertolak mencari bunyi tersebut, dan menemui Jumper, dengan tali kekangnya tersangkut pada pokok kaktus. Billy membebaskannya. Pada keesokannya, anak laki-laki ini memakai but koboinya, mencapai tanjulnya dan pergi membangunkan kudanya. "Bersedia untuk rodeo, Jumper?" Kuda baka baik ini bangun dengan penuh bangga. Jumper sudah bersedia!" Tempo menutup buku mantra. Flik dan Flak sudah tertidur...
Di tanah Viking
Tempo, ahli sihir tua, duduk berdekatan Flik dan Flak dengan buku manteranya. "Pada suatu masa dahulu, di sebuah desa Viking di utara Scandinavia, berlaku kegemparan yang besar. Orang ramai mengelilingi Gokstad, drakkar (perahu panjang) hitam yang mempesonakan. Karl yang bertenggek di dahan pokok fir menyaksikan para pelaut berangkat dalam ekspedisi mereka. Suara-suara mereka dibawa oleh angin yang dingin. Batu matahari (sunstone) telah hilang! Tanpa kristal ajaib ini, yang digunakan sebagai kompas, Viking akan tersesat di laut dan tidak dapat membawa balik makanan dan harta karun. Suatu kelipan yang aneh menarik pandangan mata Karl. Batu matahari berada di sarang burung murai. Karl mengembalikannya kepada Olav, ketua kaum Viking. Sebagai tanda terima kasih, Olav menawarkan Karl topi bertanduk dan berjanji untuk membawanya naik ke drakkar hitam tidak lama lagi." Tempo menutup buku mantra. Flik dan Flak sudah tertidur...
Pertarungan antara ahli sihir dengan orang sakti
Tempo, ahli sihir tua, duduk berdekatan Flik dan Flak dengan buku manteranya. Pada zaman dahulu, kehidupan adalah aman damai di dalam hutan yang mempesonakan. Tetapi ketakutan telah muncul sejak Darkwiz tiba. Ahli sihir jahat akan menyihir sesiapa yang masuk ke dalam hutan maka orang bunian dan goblin telah melarikan diri. Seorang sakti yang baik membuat keputusan untuk menolong mereka. Dia menuju jauh ke dalam hutan gelap dan mencabar Darkwiz untuk bertarung. Dia menggunakan cogan alamnya untuk mematahkan semua sumpahan Darkwiz dan, membuka buku manteranya sambil mengucapkan kata-kata jampi untuk mengubah Darkwiz menjadi pohon. Sayangnya, Darkwiz sempat menyihir buat kali terakhir orang sakti baik, yang sekarang mendapati dirinya terpenjara di dalam halaman buku manteranya sendiri." "Adakah anda orang sakti yang baik itu, Tempo?" tanya Flik dan Flak. Tempo menutup buku mantera mengenyitkan mata...